Gastrik oh gastrik, takde siapa yang suka bila gastrik menyerang. Rasa sakit perut yang mencucuk, rasa tidak selesa belum masuk rasa loya dan muntah lagi. Perit kan bila kena gastrik. Lagi sedih apabila disebabkan gastrik aktiviti harian terjejas. Jom kita kenali apa itu gastrik dan puncanya.
Gastrik ini adalah sakit yang berpunca daripada gaya hidup kita ataupun aturan makan kita. Mereka yang selalu skip makan adalah orang yang berisiko kena gastrik.
(sumber: Utusan Online - Gastrik Penyakit Gaya Hidup)
Pakar Perunding Umum Pembedahan Laparoskopi, Dr. Mohd. Faisal Jabar, gastrik adalah masalah sangat lazim dan dibahagikan kepada dua jenis iaitu gastritis (keradangan lapisan mukosa yang melapik dinding perut) dan ulser perut atau peptik pada lapisan sel yang lebih dalam (lebih teruk berbanding gastritis).
"Biasanya apabila orang berkata mereka ada masalah gastrik, ia merujuk kepada keadaan pertama (gastritis).
"Secara semula jadi, sel perut kita menghasilkan asid hidroklorik (dengan pH1 hingga pH2) yang berfungsi mencerna makanan. Asid ini kuat dan jika terkena tangan, kulit akan terhakis. Sel perut menghasilkan lapisan mukosa (lapisan pertahanan) sebagai pelindung daripada kesan asid hidroklorik," katanya yang ditemui di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.
Tambah Dr. Mohd. Faisal, pengeluaran atau rembesan asid hidroklorik berlaku apabila ada makanan untuk memulakan proses pencernaan dan gastrik berlaku apabila tiada keseimbangan antara kuantiti rembesan asid hidroklorik (terlalu banyak) dengan kekuatan lapisan pertahanan (menjadi lemah).
Jika lapisan pertahanan ini menjadi lemah, ulser berlaku kerana asid hidroklorik boleh sampai ke sel dan menyebabkan keradangan.
"Jika orang mengadu sakit perut ketika lapar, ia menandakan asid hidroklorik terlalu banyak dalam perut dan sebaliknya jika sakit perut selepas makan, mungkin menandakan masalah ulser perut kerana lapisan mukosa yang sudah lemah.
Secara umumnya, tanda gastrik mudah dikesan kerana gastrik menyebabkan ketidakselesaan pada perut.