Kali ini saya nak bercerita pasal berpantang pula. Berpantang sangat la sinonim dengan masyarakat melayu kan kan kan. Secara normal pantang 44 hari jer tetapi ada yang berpantang selama 100 hari. Sebenarnya kaum cina pun ada tempoh berpantang mereka juga bukan seladar orang melayu. Mereka juga ada amalan berpantang mereka sendiri. Tetapi zaman moden sekarang ni ramai yang dah tak amalkan berpantang ni, dah lapuk katanya atau pun dah tak releven katanya. Pendapat peribadi saya, sekarang memang tak nampak kebaikan berpantang tetapi akan dirasai semasa hari tua. Tetapi kenapa kena berpantang yer? Pernah tak korang terfikir. Semasa berpantang mak-mak kita akan suruh kita jaga makan, berurut, bertungku, berpilis, berbengkung, makan jamu dan minum air akar kayu. Itu semua ada kebaikan dan sebabnya.
Berpantang ni adalah recovery time untuk si ibu sebenarnya. Proses kehamilan dan melahirkan kan banyak menggunakan kudrat si ibu. Dengan berpantang tenaga dapat dikembalikan malahan memberi masa kepada luka-luka dalaman sembuh sepenuhnya dan juga luka luaran. Tempoh bertenang kata orang, bagi badan relax setelah penat bekerja sebab itu ibu dalam pantang kena jaga makan segala bagai. Bengkung pula dapat membantu ibu mengembalikan bentuk tubuh badan dan menyokong tulang belakang. Walaupun sekarang ramai ibu yang bersalin secara caesarean namun masih boleh berbengkung dan berurut cuma kena tahu caranya. Banyak bengkung moden sekarang bagi yang bersalin secara caesarean dan ramai juga tukang urut yang tahu bagaimana mahu mengurut ibu yang bersalin secara caesarean. Dulu mungkin menjadi masalah sekarang tidak lagi. Semasa bersalin anak pertama dahulu secara caesarean, saya masih berurut cuma bengkung sahaja yang tak begitu rajin nak pakai sebab luka saya lambat baik. Tetapi berurut tetap ada memang rasa badan sangat ringan dan sedap selepas berurut berbanding sebelum berurut. Angin kurang, badan selesa dan muka berseri tidaklah nampak pucat.
Salah satu perkara yang saya suka semasa berpantang adalah bertungku. Bila bertungku terasa selesa perut dan hilang lenguh-lenguh badan. Tujuan bertungku adalah untuk melancarkan peraliran darah dan memecahkan darah beku yang masih ada didalam rahim, mengecutkan rahim dan membuang angin. Semasa berpantang semuanya kena panas, makan makanan yang panas, mandi air panas, bertungku, pilis, pakai stokin dan baju panas semuanya bertujuan untuk memastikan badan ibu sentiasa panas bagi mengelakkan angin masuk. Kenapa bahaya sangat kalau angin masuk ni? Sebab bila badan berangin, ibu akan tidak selesa kemudian emosi mula terganggu dan perkara yang paling nak dielakkan adalah “meroyan” ataupun istilah omputih “baby blues”. Ada yang terkena meroyan yang teruk sampai lupa diri sampai perlu dirawat kerana itulah mak-mak kita selalu pesan dalam pantang jangan suka nangis, sentiasa bertenang dan berehat.
Makan jamu dan minum air akar kayu semasa berpantang. Ini adalah pilihan masing-masing, pengalaman saya makan jamu big no no sebab anak pro-long jaundis jadi agak membazir set bersalin yang beli mahal-mahal tu. Minum air akar kayu pula susah nak cari orang yang pandai buat ramuannya. Sedih sebenarnya tak boleh makan jamu sedangkan saya memang nak sangat makan jamu semasa berpantang. Pernah cuba juga makan tetapi bacaan kuning anak terus naik selepas makan jadi kena terima hakikat tak boleh makan jamu. Tetapi bagi ibu-ibu yang boleh makan jamu dan air akar kayu, ia adalah bagus untuk mengembalikan kesihatan badan. Jamu menolong mengembalikan kecergasan, mengecutkan rahim dan menaikkan seri muka begitu juga dengan air akar kayu. Namun sekarang banyak set bersalin yang berasaskan herba jadi tidak ada masalah panas tetapi saya mengambil langkah selamat supaya tidak ambil tetapi perkara lain yang perlu dibuat semasa pantang tidak ditinggalkan. Tidak bermaksud saya tidak makan jamu saya dikira tidak berpantang, salah tanggapan tu. Berpantang bukan hanya makan jamu, aktiviti yang dibuat semasa berpantang itu juga adalah penting seperti bengkung, tungku, pilis dan sebagainya.
Pemakanan semasa berpantang, ini yang buat orang selalu tewas dan tension semasa berpantang sebabnya semua benda tak leh nak makan. Pilihan makanan kena jaga, jangan makan ikan yang gatal dan berbisa contohnya sardin, semilang, kembong dan lain-lain nanti luka lambat sembuh. Begitu juga dengan ayam dan daging, ada orang makan ayam tak gatal tapi daging gatal. Sayur pula tidak boleh makan sayur yang menjalar,sejuk serta berangin kerana akan mengakibatkan sakit tulang, lemah sendi dan sejuk otot atau lebih dikenali sebagai artritis dan rheumastisme. Contohnya kangkung, keladi, rebung, kacang panjang dan pucuk ubi. Buah-buahan juga harus dipilih jangan makan nenas, ciku, cempedak, nangka dan tembikai. Itu adalah contoh-contoh makanan yang perlu dielakkan. Ibu-ibu digalakkan makan ulam-ulaman, pegaga adalah antara yang terbaik bukan sahaja boleh menambah susu badan malahan bagus untuk rahim. Mengenai pemakanan semasa berpantang ini pun banyak version ada keluarga boleh makan ini, ada keluarga tidak boleh makan itu. Bagi saya, saya ikut apa yang Ummi ajar dan jika tidak ada kesan pada badan saya akan teruskan sebab tension juga bila kena preasure sebelah pihak kata boleh makan sebelah pihak kata tak boleh makan.
Pengalaman saya berpantang anak kedua, saya masih lagi berurut, berbengkung, bertungku, berpilis, jaga makan minum tetapi saya tidak makan jamu kerana anak pro-long jaundis. Jadi saya ambil supplemen supaya badan tetap cergas dan mendapat nutrien yang cukup yelah semasa pantang kan banyak benda tak boleh makan. Alhamdulillah walaupun tidak makan jamu, badan masih segar dan cergas malahan susu pun banyak. Syukur tersangat-sangat. Zaman moden sekarang sudah banyak pusat-pusat penjagaan ibu bersalin, jadi masalah berpantang sendirian tiada lagi masalah cuma sediakan ongkosnya sahaja. Perkhidmatan penghantaran makanan semasa berpantang juga sudah ada jadi ibu-ibu yang berpantang sendiri tidak perlu bersusah payah ke dapur untuk masak macam biasa lah sediakan ongkosnya sahaja. Tetapi Allah itu Maha Mengetahui, Dia kan permudahkan segala urusan selagi kita tidak lupa berdoa memohon pertolonganNya.