Ceritakanlah Nikmat Tuhanmu


 Daripada Abu Hurairah r.a, Rasululllah s.a.w bersabda bahawa sesungguhnya ada tiga orang daripada Bani Israil yang masing-masing mempunyai kekurangan. Seorang daripadanya berpenyakit sopak, seorang botak dan yang seorang lagi buta. Allah menguji mereka dengan mengutuskan malaikat. Malaikat itu datang kepada si sopak dan bertanya, "Apakah sesuatu yang paling engkau mahukan?". Si Sopak menjawab,"Saya menginginkan paras yang tampan dan kulit yang cantik serta hilangkan penyakit yang menyebabkan orang jijik untuk mendampingiku." Maka malaikat itu lantas mengusap si sopak dan kemudian hilanglah penyakit yang menjijikkan itu serta ia diberikan paras yang tampan dan kulit yang cantik. Malaikat itu bertanya lagi, "Harta apakah yang paling engkau mahukan?" Si sopak menjawab "Saya ingin menjadi usahawan penternak unta (atau dia mengatakan lembu) yang berjaya." Kemudian dia diberikan unta yang sedang bunting sepuluh bulan dan malaikat tadi berkata, "Semoga Allah memberikan berkah dan rahmat atas apa yang kau terima."

Kemudian malaikat itu pergi kepada si botak dan bertanya,"Apakah yang paling kau inginkan?" Si botak menjawab, "Rambut yang rapi dan hilangkan penyakit yang menjadikan orang jijik kepadaku ini." Malaikat lantas mengusap si botak dan selepas itu hilanglah penyakitnya serta tumbuh rambut yang cantik rapi dikepalanya. Malaikat bertanya lagi,"Harta apakah yang paling engkau mahukan?" Si botak menjawab,"Saya ingin menjadi usahawan penternak lembu yang maju." Kemudian dia diberikan lembu yang sedang bunting dan malaikat tadi berkata,"Semoga Allah memberi berkah dan rahmat atas apa yang kau terima."

Kemudian malaikat itu pergi pula kepada si buta dan bertanya,"Apakah sesuatu yang paling kau inginkan?" Si buta menjawab, "Allah mengembalikan penglihatanku sehingga aku dapat melihat." Malaikat lantas mengusap si buta dan Allah mengembalikan penglihatan si buta. Malaikat itu bertanya lagi,"Harta apakah yang paling kamu mahukan?" Si buta menjawab,"Saya ingin menjadi usahawan penternak kambing." Kemudian dia diberikan kambing yang sedang bunting.

Lama-kelamaan unta,lembu dan kambing milik mereka berkembang biak sehingga memenuhi satu kawasan. Lantas datanglah malaikat sebagai ujian daripada Allah.Malaikat itu menyamar sebagai seorang yang berpenyakit sopak seperti keadaannya dahulu sambil berkata,"Saya seorang miskin dan telah kehabisan bekal di tengah perjalanan dan tidak menggantung harap kecuali kepada Allah s.w.t kemudian kepadamu. Saya benar-benar meminta pertolongan kepadamu dengan izin Allah yang telah memberikan engkau paras yang tampan dan kulit yang halus serta harta kekayaan. Saya meminta kepadamu seekor unta untuk bekal melanjutkan perjalanan saya."

Si sopak berkata,"Saya tidak dapat memberikan apa-apa kepadamu." Malaikat itu berkata,"Kalau tidak salah, saya pernah kenal denganmu, bukankah kamu dulu orang yang mempunyai sakit sopak dan orang-orang jijik kepadamu dan bukankah kamu dulu orang yang miskin lalu Allah memberikan rahmat kepadamu?" Si kaya yang sebelumnya sopak itu berkata, "Sesungguhnya saya mempunyai harta kekayaan ini daripada nenek moyang." Malaikat berkata."Jika kamu berdusta maka semoga Allah s.w.t mengembalikan keadaanmu semula."

Kemudian malaikat itu datang kepada si botak dengan menyerupai orang berpenyakit botak seperti keadaannya sebelumnya itu, dan berkata seperti apa yang dikatakannya kepada si sopak. Si botak menjawab seperti si sopak. Kemudian malaikat itu berkata,"Jika kamu berdusta,semoga Allah menjadikan kamu seperti keadaanmu semula."

Malaikat meneruskan perjalanannya ke tempat si buta dengan menyerupai orang buta seperti keadaan si buta waktu itu dan berkata,"Saya seorang miskin,saya telah kehabisan bekal ditengah-tengah perjalanan ini dan tidak ada lagi harapanku kecuali kepada Allah kemudian kepadamu. Saya benar-benar minta pertolongan kepadamu dengan izin Allah yang telah mengembalikan penglihatanmu, iaitu saya meminta satu ekor kambing untuk bekal dalam melanjutkan perjalanan saya." Si buta menjawab." Saya dulu juga seorang yang buta kemudian Allah mencelikkan penglihatan saya. Dan dulu saya miskin kemudian Allah memberikan kekayaan seperti ini. Maka ambillah apa yang kau inginkan. Demi Allah saya tidak akan menghalangmu daripada mengambil apa jua yang kau kehendaki kerana Allah."

Mendengar jawapannya yang ikhlas itu, malaikat itu berkata "Peliharalah harta kekayaanmu sebenarnya kamu hanyalah diuji dan Allah benar-benar redha terhadap kamu dan Allah telah memurkai kedua-dua kawanmu."

Pengajaran daripada kisah ini:
1. Kita wajib mensyukuri nikmat Allah dan dilarang kufur serta mengingkari nikmat.

2. Harta yang banyak bukan bermakna Allah lebih menyayangi seseorang hamba itu lebih daripada yang lain, harta juga merupakan satu ujian kepada hambanya. 

3. Kisah ini menjelaskan keutamaan bersedekah.

4. Allah pasti menguji hambanya untuk mengetahui siapa yang bersyukur dan kufur nikmat, siapa yang soleh dan ingkar.

Daripada buku 101 Kisah Dan Pengajaran Drpd Al-Quran,al-Hadis dan Hayatus Sahabah tulisan Ustaz Zahazan Mohamed





0 comment... add one now